Setelah sekian lama memendam keinginan untuk mendapatkan gigi yang tersusun rapi, hari ini (04.02.2019) yat dengan jayanya telah memasang braces.
Salah satu impian yang tertulis di dalam Vision Board 2018/2019. Alhamdulillah, Allah makbul dan permudahkan urusan yat.
Entry ni yat akan kongsikan pengalaman berharga yat untuk panduan bagi anda yang ingin memasang braces.
Yat Pasang Braces Kat Mana?
Okeh, pada mulanya yat ingin pasang braces di Bangi selepas membaca
pengalaman Mentor Shaklee yat, Master Nadiah.
Tetapi apabila difikirkan kembali, masa perjalanan ke Bangi dari Klang agak menjadi kekangan memandangkan agak jauh dan perlu fikirkan anak-anak juga.
Maka bermulalah pencarian Yat untuk mencari klinik gigi yang menyediakan perkhidmatan pemasangan braces dengan harga berpatutan. Hasil pencarian melalui blog, Yat jumpa 2 klinik gigi yang menjadi pilihan ramai.
1. Klinik Pergigian Zahida
Lokasi: Seksyen 8, Shah Alam ( 24 Jalan Liku B 8/B, Seksyen 8, 40000 Shah Alam, Selangor) - sebaris dengan kedai Soto tersohor Seksyen 8
No Tel: 03 5519 7441
2. Klinik Pergigian Zubaidah
Lokasi: 10A, 1st Floor, Jalan Pinang D 18/d, Seksyen 18, 40000, Shah Alam, Selangor, 40200
No Tel: 03 5549 2559
Jangan tertukar tau. Satu di Seksyen 8, dan satu lagi di Seksyen 18
Setelah berhubung melalui emel dan telefon dengan 2 klinik ini, yat pilih untuk mendapatkan khidmat daripada Klinik Pergigian Zahida. Kenapa?
Mungkin kerana keramahan para pekerja dan 'fast respond' daripada pihak klinik selain daripada agak dekat dengan rumah. :-)
Berapa Kos Pemasangan Braces?
Hasil makluman daripada kedua-dua klinik, kos pemasangan braces (yang biasa orang buat tu) ialah RM6000.00 tetapi tidak termasuk kos-kos lain seperti cabut gigi sekiranya perlu, cuci gigi (scaling), tampal gigi dan X-Ray gigi.
Yang membezakan antara dua klinik ini ialah, Klinik Pergigian Zahida boleh buat dua kali pembayaran deposit RM1,500.00. Bagi yat, ini juga faktor mengapa klinik ini menjadi pilihan.
Kali pertama ketika mengambil surat rujukan untuk X-Ray gigi sebanyak RM750.00.
Kali kedua adalah ketika temujanji untuk pemasangan braces sebanyak RM750.00 lagi.
Jumlah keseluruhan yang yat telah keluarkan ialah:-
- Deposit - RM1,500.00 (dua kali bayaran)
- Tampal gigi - RM100.00 (1 batang gigi)
- X-Ray gigi - RM170.00
- Scaling gigi - RM130.00
- Kit Penjagaan Gigi - RM30.00 (berus gigi, mini ubat gigi Colgate Pro-Relief, inter-dental brush dan wax)
Jumlah permulaan setakat ini ialah
RM1,930.00.
Bayaran bulanan ialah RM150.00 setiap kali temujanji. Tetapi penambahan kos akan berlaku sekiranya ada rawatan lain seperti cuci gigi (scaling) atau whitening bergantung kepada keadaan semasa gigi.
Proses Pemasangan Pun Bermula
Temujanji yat untuk pemasangan braces ialah jam 4.30 petang. Hari Isnin sebelum Tahun Baru Cina dan saja je pilih waktu petang dengan harapan kejap je malam. Kalau sakit, boleh terus tidur. Haha
Jam 3.30 petang dah tercongok di klinik sebab sebelum pasang braces yat perlu check dulu gigi memandangkan ada gigi yang perlu ditampal. Ini pun ada cerita tersendiri. Kat entry lain yat kongsikan ye.
Selepas check gigi dan buat sedikit tampalan, ya Yat dah sedia untuk bergigi besi. Maka, bermulalah penantian nama dipanggil. Penantian itu satu penyiksaan tau.
Sebelum nama dipanggil, yat diberi pilihan untuk pilih warna getah bracket. Katanya staf klinik, ramai yang pilih warna pink atau biru. Tetapi atas faktor umur dan juga kebersihan, yat pilih warna kelabu. Biar nampak matang sikit. Pink and blue tu macam budak-budak baru nak up sangat. Hehe.
Jam 5.00 petang barulah nama dipanggil.
Doktor yang buat pemasangan braces yat namanya Dr.Suleza. Seorang doktor gigi yang cantik like Pan Asian dan sangat soft spoken. Dia panggil yat 'adik' tau. Hilang segala debaran di dada. Hehe
Hasil pemeriksaan, yat kena cabut 2 batang gigi bawah dan 2 batang gigi atas untuk memberi laluan kepada gigi yang berlapis di dalam keluar 'beratur' sama baris dengan kawan-kawan yang lain. Tetapi, 1 gigi di kiri bahagian bawah boleh di KIV dulu. Tengok macamana progress setelah 3 batang yang lain dicabut.
Sambil dia dok panggil 'adik' bagi arahan ke kanan ke kiri, tangan doktor sibuk buat sesuatu kepada gigi yat.
Ramai orang kata bila nganga lama macam ni, mulut akan rasa lenguh dan kering tekak. Tapi serius yat cakap, yat tak rasa apa pun. Rasa selesa. Rasa tenang. Itu saja
Mungkin sebab yat telah tanamkan dalam minda bawah sedar yang semuanya OK OK saja. Tak sakit. Tak seram. Tak lenguh.
Alih-alih doktor cakap, "Ok, adik boleh bangun dan kumur"
Bila bangun nak kumur, terasa macam ada sesuatu dalam mulut. Rasa macam berpasir. Haha
Rupa-rupanya, bracket telah siap dipasang. Selepas berkumur, tinggal untuk pasang dawai besi sahaja.
Lebih kurang 45minit, braces siap dipasang dan yess, yat bergigi besi sekarang ni. Macam tak percaya tau.
Penerangan Do's & Dont's Semasa Pakai Braces
Selepas siap pasang braces, akan ada seorang staf klinik yang akan menerangkan Do's & Dont's dan cara menjaga kebersihan gigi sepanjang pemakaian braces.
Staf juga akan membawa kit penjagaan gigi dan menunjukan cara memberus gigi yang sebetulnya ketika memakai braces. Yang ditekankan ialah 'gosok gigi setiap kali lepas makan' untuk kebersihan gigi dan mengelakan mulut berbau sekiranya sisi makanan mereput melekat di celah braces.
Sampai sini dulu ye. Next entry yat kongsikan lagi.
Kalau nak tanya apa-apa, boleh je drop komen. Yat akan reply ASAP untuk anda.