Thursday, 9 April 2020

Persediaan Menghadapi Ramadan Ketika Covid19

Ramadhan hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi. Sejak mula berpuasa Ramadan, Ramadan ini entah Ramadhan ke berapa yang Allah izinkan untuk kita bersua lagi. 

Moga Allah sampai dan rezekikan kita untuk bertemu Ramadhan. 

Cuma Ramadhan tahun ini agak berbeza daripada tahun-tahun sebelumnya kerana kita menyambut bulan mulia itu ketika wabak Covid 19 menyerang. Satu dunia terkesan dengan keganasan wabak Covid 19 ini. 

Apa yang boleh kita lakukan sebagai persiapan menghadapi Ramadhan bulan istimewa ketika Covid 19 ketika ini sedang berleluasa. 


Tips Persediaan Menghadapi Ramadhan Ketika Covid 19

Sedikit tips yang Sisyat sedang dan bercadang untuk lakukan bagi menghadapai bulan Ramadhan ini; 

1. Tidur dan bangun awal. 

Sekarang ini kita masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa 2 dan semua isi rumah boleh dikatakan berada di rumah ketika ini. Justeru itu persiapan menghadapi Ramadhan ketika Covid 19 ini akan menjadi lebih mudah dengan adanya seisi rumah bersama-sama.

Latih semua isi rumah untuk tidur awal memandangkan tidur awal penting bagi memastikan tubuh mendapat rehat yang cukup dan bertenaga pada keesokan harinya. 

Latih diri untuk tidur awal supaya kita dapat bangun awal pada keesokan harinya. Cuba bangun awal 30 minit sebelum masuk waktu subuh. 

Agar nanti ketika Ramadhan kita dapat bangkit lebih awal untuk melakukan ibadah bersahur. 

Pada masa ini gunakan beberapa minit di awal pagi itu untuk kita melakukan solat-solat sunat agar apabila Ramadhan nanti kita sudah terbiasa melakukannya. 

2. Solat di awal waktu. 

Memandangkan Covid 19 ini memberikan ruang untuk kita #stayathome bersama keluarga, mulakan solat berjemaah di awal waktu. 

Pada ketika ini, solat berjemaah di awal waktu memberikan ruang untuk kita mendekatkan diri kepada Sang Pencipta dan membuka ruang untuk lebih rapat sesama ahli keluarga. 

Solat di awal waktu juga memberikan berkat masa yang mana kita akan merasakan waktu yang diberikan agak panjang atau lama. 

Jika selama ini, masing-masing sibuk mencari rezeki (bekerja) tapi untuk persiapan Ramadhan tahun ini Allah berikan nikmat dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) maka dekatkan diri dengan DIA sebaiknya. 

3. Perbanyakkan zikir di selang waktu. 

Zikir adalah bertujuan agar kita mengingati Allah SWT. Dan dengan mengingati Allah akan memberi kita ketenangan dan rasa cukup. 

Ia tidak memerlukan masa atau tempat yang khusus untuk melakukannya. Ia boleh dilakukan di mana-mana dan bila-bila masa sahaja dan tidak terhad. 

Lazimkan diri berzikir ketika sedang memandu, memasak, melipat pakaian, menaiki pengangkutan awam, sebelum tidur dan pada bila-bila selang waktu yang ada. 

Mungkin boleh jadikan wallpaper telefon bimbit atau laptop ada kalimah zikir. Itu boleh membantu mengingatkan kita yang selalu terlupa ini. 

4. Bercinta dengan al-Qur’an. 

Amalkan membaca Al-Quran setelah selesai menjalankan solat berjemaah di awal waktu. 

Peruntukkan sedikit masa yang lebih daripada biasa untuk kita membaca atau menghayati terjemahan atau menghafaz ayat-ayat al-Qur’an. 

Lakukan bersama anak-anak dan pasangan. 

Mungkin ketika ini agak sukar untuk kita menghadiri kelas fizikal berhubung ilmu-ilmu Al-Quran, tetapi tiada salahnya untuk membacanya setiap hari setiap kali selepas waktu solat. Dapatkan bantuan daripada kelas-kelas bacaan Al-Quran secara online. 

Perlahan-lahan. Sabar dalam usaha kita untuk memahami dan menghayati isinya. Wajib peruntukan sedikit masa untuk menyentuh al-Qura’n untuk hari itu. 

Elakan untuk terlebih tidur sekiranya belum membaca sekurang-kurangnya 1 muka surat Al-Quran. 

5. Meninggalkan perbuatan yang tidak mendatangkan faedah atau bermanfaat. 

Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tidak dibenarkan untuk berkumpul dalan satu-satu masa dan tempat untuk memutuskan rantaian virus ini. 

Jadi inilah masa untuk memenuhkan Ramadhan kita dengan ibadah amal soleh yang bermanfaat. 

Berada dirumah bersama ahli keluarga yang lain, latih diri kita untuk meninggalkan perbuatan yang tidak bermanfaat, perbuatan maksiat dan perbuatan dosa. 

Misalnya bercakap keji, mencari salah orang, berburuk sangka, menyakiti kawan atau jiran dan menghabiskan masa menonton video-video yang tidak bermanfaat. 

Perlahan-lahan, kita akan jadi terbiasa dengannya. 

6. Mendekatkan diri dengan masjid. 

Antara 7 golongan manusia yang mendapat naungan Allah ketika di Padang Mahsyar adalah orang-orang yang hatinya tertaut dengan masjid. 

Jadikan Ramadhan adalah masa untuk kita berjinak-jinak dengan majlis ilmu dan beribadah di dalam masjid. 

Namun, pada ketika ini adalah dilarang untuk berkumpul (solat berjemaah di masjid) kerana wabak Covid 19, tidak bermakna luar masjid tidak boleh beribadah. 

Jadi, kita lakukan yang sebaiknya di rumah. Solat berjemaah bersama ahli keluarga. Bacaan Al-Quran bersama-sama. 

Mula dari sekarang, agar apabila Covid 19 ini sudah hilang dari muka bumi ini, kita tidak kekok nanti untuk melaksanakan ketika Ramadhan menjelang. 

7. Mendalami ilmu hukum-hakam yang berkaitan dengan ibadah puasa. 

Puasa adalah ibadah utama di bulan Ramadhan. 

Selain daripada menjalankan ibadat puasa ganti dan puasa sunat ketika bulan-bulan tertentu sebelum Ramadhan, persiapan dari segi hukum – hakam, pengertian puasa, hikmahnya, rukun dan perkara-perkara yang membatalkan puasa adakah sesuatu yang harus dititikberatkan agar ibadah yang dilalui tidak sia-sia. 

8. Menjaga kesihatan kita sebaik mungkin. 

Apa yang paling penting untuk bertemu Ramadhan selain amal ibadat ialah menjaga kesihatan sebaik mungkin. 

Menjaga kesihatan bermaksud memelihara tubuh badan kita dari pemakanan yang tidak seimbang dan gaya hidup yang tidak sihat seperti merokok dan terlebih tidur. 

Tubuh badan kita adalah amanah daripada Allah. 

Kita mengimpikan apabila kita memasuki Ramadhan, keadaan kesihatan diri kita bertenaga dan semangat! 

Namun, jika kita bertemu Ramadhan dalam keadaan tubuh yang tidak sihat, kita malah akan mendapat rukhsah dan tidak dapat menyempurnakan ibadah puasa dengan baik. 

Alangkah ruginya jika perkara seumpama itu berlaku.

Baca juga:

9. Persiapkan diri (luaran dan dalaman) melalui proses penyucian jiwa.

Pesan Nabi Muhammad SAW buat kita, di dalam jasad manusia terdapat segumpal daging yang jika ia baik, maka baik seluruh jasadnya. Dan segumpal daging itu adalah hati. 

Pentingnya hati yang bersih dari niat jahat dan maksiat bagi memastikan nikmat ibadah dan keimanan dapat dirasakan. Kenal pasti apa perbuatan harian kita yang menjadikan kita semakin jauh dengan Allah. 

Belajar mendidik hati dan nafsu kita. Ramadhan adalah peluang terbaik untuk dimanfaatkan. 

Semoga kita pulang dari Ramadhan dengan hati yang baru, yang khusyuk dan sensitif dengan kemaksiatan atau kemungkaran walaupun sekecil zarah. 

10. Menghidupkan suasana Ramadhan di rumah. 

Bagi umat islam yang beriman, kedatangan Ramadan amatlah dinantikan. Persiapan menghadapi Ramadhan seharusnya dilakukan melebihi persiapan hari raya. 

Kena penuh semangat dan teliti. 

Kongsikan hadis-hadis atau ayat al-Quran berkaitan Raamdhan sesama isi rumah. Menceritakan isi-isi buku berkaitan Ramadhan yang dibaca. Ajari anak-anak tentang kebaikan dan kehebatan Ramadhan. 

Membeli atau membasuh sejadah, pakaian solat seperti telekung dan kain pelikat bagi menaikkan semangat. 

Gunakan al-Qur’an yang paling digemari. Mainkan lagu-lagu berkaitan Ramadhan dan ayat-ayat al-Quran di rumah. 

Letak al-Quran dan buku-buku bertemakan Ramadhan di setiap sudut rumah iaitu kawasan-kawasan yang paling selalu diduduki. Rancang ingin berbuka dan berterawih di masjid mana nanti ketika Ramadhan nanti. 

11. Persiapkan rancang target Ramadhan. 

Sebagaimana kita merancang kehidupan harian kita, begitu juga ibadah kita. Letakkan target Ramadhan yang ingin kita capai dalam Ramadhan kali ini. 

Biarpun Covid 19 melanda dunia pada tahun ini, tetap pastikan Ramadan inj lebih baik dari tahun-tahun sebelumnya. 

Rancang dan target berapa sedekah yang ingin kita berikab pada keluarga, umat islam yang lain? 

Berapa solat sunat yang ingin kita lakukan setiap hari di bulan Ramadan? 

Berapa helai muka surat daripada al-Qur’an ingin kita ingin baca setiap hari? 

Berapa kali khatam Al-Quran yang kita nak pada Ramadhan kali ini? 

Dan apa sahaja lagi amal ibadah yang ingin kita lakukan. Kongsikan dengan kawan atau ahli keluarga agar sama-sama boleh saling memberi sokongan dan berlumba-lumba dalam kebaikan. 

Selamat menyambut Ramadhan yang Kareem Sisyat ucapkan kepada kawan-kawan! 

Bulan yang begitu kita rindui. Yang dalamnya ada 1001 kebaikan. Yang mana para sahabat sering menanti-nantikannya dan menyebut-nyebut tentangnya. Sehingga jika kita baca dalam sirah, masuk sahaja bulan Syaaban mereka dah mula menggandakan bacaan al-Quran mereka, menghalalkan hutang-hutang saudara mereka, begitu teruja untuk menyambut Ramadhan. 

Mari kita sama-sama berdoa moga Allah rezekikan kita untuk sampai kepada Ramadhan kali ini dan berpeluang untuk merebut segala kebaikan yang Allah janjikan di dalamnya. 

Semoga doa-doa kita ketika Ramadan ini juga diterima Allah dalam usaha untuk menghapuskan dan menghilangkan wabak Covid19 di muka bumi ini. Salah satu bulan yang paling mustajab untuk meminta, adalah bulan Ramadan. 

Dan, permintaan paling mustajab adalah dengan berdoa. Doa adalah senjata umat Islam. Ayuh kawan-kawan, berdoalah. Mohon DIA yang satu hapuskan wabak itu.

Peringatan bersama:
-Sisyat.019 397 9157-
Pengedar Shaklee Anda
Kawasan Kapar / Klang

6 comments:

  1. Tak sabar nak tunggu ketibaan Ramadan.


    ReplyDelete
    Replies
    1. Sama la dengan Sisyat ni. Tak sabar tunggu kedatangan dia 😊

      Delete
  2. Harap2 masjid dan surau sudah boleh diimarahkan.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kan...doa banyak2..minta DIA putuskan rantaian covid ni cepat2. Rindu nak terawih kat surau/masjid..

      Delete
  3. Bagus tips berguna macam ni. Boleh jadi panduan untuk kita semua.

    Tak lama dah nk ramadhan.
    Rinduu.

    Sama² kita perbaiki apa yang perlu, nikmati masa yang ada dengan benda yang boleh dijadikan bekal untuk disana kelak.

    💜

    ReplyDelete
    Replies
    1. semoga Ramadhan kali ini lebih bermakna walaupun kita semua berdepan dengan ujian ini.

      Tabah dan tenang-tenang aje. in sha allah, ada yang manis nanti :-)

      Delete

Penafian / Disclaimers

#1 Segala testimoni /penulisan tentang produk yang dikongsi dilaman ini BUKAN bertujuan untuk merawat, mencegah, mendiagnose atau menyembuhkan apa jua penyakit. Pembaca yg mengalami masalah kesihatan digalakkan mendapat nasihat dari pakar kesihatan terlebih dahulu.

#2 Segala perkongsian kisah peribadi adalah HAK MUTLAK saya dan keluarga. Semuanya adalah berdasarkan pengalaman dan kenangan kami. TIADA berkaitan dengan yang hidup atau yang mati. HANYA KEHIDUPAN KAMI.